AMIR MASDI hadir dengan album penuh selepas tujuh tahun pembabitan sebagai anak seni.

Bakat besar dimiliki penyanyi ini menarik pujian ramai. Selain memiliki karakter vokal tersendiri, Amir Masdi juga punya pesona tersendiri setiap kali muncul membuat persembahan.
Selepas dua kali melangkah ke pentas ‘Anugerah Juara Lagu’ (AJL), Amir Masdi dilihat sudah berada di landasan tepat dengan muzik yang dibawa. Malah, keberadaan Amir dalam pasaran industri hiburan tanahair kian mewangi.
Tatkala lagu terbaharunya berjudul “Sengaja” mula melekat di hati peminat dan pencinta muzik,
Amir dan pasukannya terus giat mengatur pelbagai strategi agar kemunculannya sentiasa dinanti peminat dengan pengeluaran karya-karya baru berkualiti dan segar.
Disebabkan itu, Amir, 27, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi muncul dengan album solo sulungnya berjudul AMIR MASDI. Berbekalkan kecekalan diri, buah tangan yang cukup istimewa ini
hadir selepas tujuh tahun pembabitan Amir Masdi sebagai anak seni.

“Album ini berkonsepkan matahari kerana ia adalah salah satu sumber utama kita dalam kehidupan.
Matahari juga ada ‘sunrise’ dan ‘sunset’, jadi album ini adalah ‘sunrise’ atau boleh dikatakan kelahiran pertama saya. Ia juga ibarat cahaya pertama yang menyinari karier saya.
“Album ini ada sejumlah 12 lagu termasuk yang sudah pernah dikeluarkan sebelum ini dan juga lagu
baharu yang saya tulis bersama beberapa penulis lirik dan komposer lain sejak PKP lagi. Sebenarnya,
perancangan untuk hasilkan album ini sudah lama dan ia adalah impian saya sejak dulu lagi”. katanya.
Album yang memuatkan sejumlah 12 lagu itu menjadi pertaruhan berani Amir bukan saja sebagai
penyanyi tapi juga sebagai seorang pelabur yang turut mengeluarkan kos sendiri selain dibantu oleh
pihak Nova Music dalam proses rakaman. Melawan arus, album AMIR MASDI bukan saja dilancarkan di semua platform digital tapi juga diterbitkan dalam bentuk fizikal.
Menariknya, bersempena pelancaran album AMIR MASDI pada 7 Julai 2023, Amir turut mengadakan
persembahan eksklusif khas buat peminat setianya.
