‘The Journey’ Konsert Anniversari ke-33 Damasutra masa temui peminat.

0

KUALA LUMPUR 20 JUN 2023 – Pernah mencetuskan fenomena sekitar awal 1990an, Damasutra terus unggul sebagai kumpulan pemuzik yang mempunyai kelompok peminat tegar sehingga ke hari ini.

Lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Antara Sutera & Bulan, Asyik, Sesat Dalam Rindu, Sufi dan Seribu Bayangan antara seleksi malar segar yang terus menjadi siulan.

Biar muncul banyak band baharu di persada hiburan, Damasutra tetap ampuh sebagai satu jenama yang meninggalkan kesan abadi buat khalayak pendengar. Tidak hairan apabila permintaan ramai ingin menikmati persembahan ‘live’ mereka mencetuskan idea untuk merealisasikan sebuah konsert mega.

Vokalisnya, Baggio atau Bahagia Daharun, berkata kali terakhir beraksi di pentas langsung adalah sekitar lima tahun lalu yang membuatkan mereka menanam impian mengadakan konsert dalam skala besar.

Katanya, hasrat yang dipendam sejak setahun lalu demi memenuhi permintaan ramai bakal dilunaskan bertepatan sambutan ulang tahun ke-33 penubuhan Damasutra pada Oktober depan. Memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai venue, akuinya, mereka enggan berkompromi dalam soal kualiti sekaligus gelanggang gah tersebut menjadi medan momen bersejarah itu.

Selain Baggio, tunjang utama kumpulan yang ditubuhkan sejak 1990 itu adalah Amran yang juga pengasas merangkap gitaris serta pemain dram, Assu.

Sebagai pelengkap, pemain gitar berpengalaman luas, Rizal Wahab, 35, akan menggantikan posisi Allahyarham Alok yang menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung empat tahun lalu.

“Sebenarnya ada kejutan. Kita akan mengumumkan gitaris baharu iaitu Rizal Wahab untuk beraksi pada malam konsert itu nanti,” katanya yang kini dalan proses pemilihan lagu.

Sepanjang tempoh dua jam beraksi, penonton bakal dihiburkan dengan rangkaian seleksi hits daripada empat album studio mereka, Antara Sutra Dan Bulan (199) Asyik (1991), Kurnia (1993) serta Penawar pada 1996.

“Malam sarat magis itu bakal dihangatkan repertoire persembahan yang tentu saja mengimbas nostalgia manis suatu ketika dulu,” ulasnya.

Kumpulan Kristal juga bakal beraksi pada malam tersebut dalam segmen pembukaan sebagai band jemputan. Teruja untuk beraksi pada 27 Oktober nanti, Baggio yang mewakili rakan lain berharap peminat yang membesar dengan dendangan mereka ‘turun’ berhimpun di Zepp KL.

Pengarah Konsert, Encik Ekmal Md Noor mewakili Ultimate Media selaku penganjur berkata dalam kerancakkan senario hiburan ‘live’ masa kini, pihaknya yakin pemerhati dunia muzik tempatan menghargai konsert penyanyi tempatan yang memberi nilai tambah dalam setiap penampilan.

Harga tiket bagi menyaksikan konsert adalah Rock Zon adalah RM188 (berdiri), Gold RM350 (duduk/Meet & Greet/t-Shirt), manakala Silver RM258 (duduk/merchandise). Harga tempat duduk bagi VIP box adalah RM3,000.

Turut hadir di acara Sidang Media adalah Kumpulan Kristal bersama penyanyi baru iaitu Ewal Ismail dan juga Kumpulan Rock Ages iaitu kumpulan Rock anak anak Remaja belasan tahun dan awal 20an yang terdiri dari Ayen Tommy (Drummer), Holy (vokalis), Osama (guitarist 1),Didi (guitarist 2), Kuzan (keyboardist), Bobo (bassist).

Kumpulan Damasutra dan Kristal juga telah mengubat kerinduan jemputan yang hadir dengan membuat persembahan dengan menyanyikan 2 lagu hit Damasutra iaitu Antara Sutra dan Bulan dan Sembunyi.

Tiket boleh dibeli menerusi laman www.damasutra.ubertickets.asia yang akan dibuka bermula pada 19hb Jun 2023..

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan kepada Encik Ekmal- Ultimate Media di talian 017 2017785.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *