“Teriak” bawa mesej masalah kesihatan mental.

0

Figura hebat ini antara juara program realiti yang masih kekal relevan hingga kini. Segalanya bermula 15 tahun lalu selepas dia dinobatkan sebagai juara ‘Akademi Fantasia’ musim keenam (AF6).
Single sulungnya, “Aku Stacy” membawa namanya di puncak kerjaya apatah lagi menerusi lagu itu juga dia buat pertama kali berjaya melangkah ke pentas berprestij ‘Anugerah Juara Lagu’ ke-23.

Mendapat jolokan Ratu Tari, Stacy, 33, atau nama sebenarnya Ummu Syaikhah Stacy Anam cukup sinonim dengan lagu-lagu rancak. Malah, Stacy tidak pernah gagal menghiburkan peminat dengan aksi lincah dan bertenaga di atas pentas.
Kemampuan Stacy mempersembahkan sesebuah lagu dengan ‘trademark’ dimiliki itu meletakkannya di kelas tersendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan, Stacy hanya satu, tiada dua.

Ingin mengulangi kejayaan hampir kesemua lagu yang pernah dilancarkan, Stacy muncul dengan single terbaharu berjudul “Teriak”. Sekali lagi, Stacy menerusi nama pena Bunga Cantik bekerjasama dengan suami tercinta juga penyanyi Akim Ahmad atau nama penanya, Hang Nadim dalam penghasilan single terbaharu ini.


Menariknya, lagu “Teriak” membawakan mesej berkaitan masalah kesihatan mental. “Lagu ini menceritakan perkara yang pernah dilalui ramai orang. Ia berkaitan masalah kesihatan mental dan lagu ini juga sebenarnya bercerita mengenai pengalaman saya sendiri yang pernah mengalami masalah depresi dan tekanan mental. Cuma, bila teringat kembali peristiwa itu, saya tidak terlalu mengambil berat emosi saya ketika itu, sedangkan ia sangat penting. Saya rasa ramai orang mengalami masalah yang sama.

“Kalau dahulu, saya tidak begitu faham dengan masalah kesihatan mental. Saya hanya belajar untuk banyak bersabar untuk menghadapi tekanan jiwa yang dirasai ketika itu. Sedangkan sebenarnya ada banyak kumpulan sokongan seperti Befrienders KL yang boleh dihubungi untuk membantu individu yang berhadapan dengan masalah itu,” katanya.

Menurutnya, lirik lagu bertemakan masalah kesihatan mental itu ditulis selepas mendengar melodi terlebih dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *