PROJEK ‘WINTER AID 11.0 SYRIA CARE’ DILANCAR.

0

SHAH ALAM 03 Oktober 2023- Dalam usaha untuk membawa kelegaan kepada mereka yang terkesan oleh bencana kemanusiaan di utara Syria dan Lubnan, Syria Care dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran Projek Winter Aid 11.0 yang bermula dari 20hb September 2023 hingga 31 Januari 2024. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YABhg. Datin Seri Masdiana Muhamad (Yang Di Pertua Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor-PEKAWANIS).

Projek Winter Aid yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Musim Sejuk dilaksanakan buat kali kesebelas tahun ini sejak penubuhan Syria Care.

Bantuan kali ini melibatkan dua portfolio utama di bawah gerak kerja Syria Care jaitu Core Relief Items dan Food Security di mana ia merangkumi keperluan asas serta khusus bagi musim sejuk.

Pengumpulan sumbangan bertujuan membantu para pelarian Syria yang menetap di utara negara tersebut juga yang mencari perlindungan di Lubnan. Buat masa sekarang, terdapat sejumlah 4.6 juta orang di utara Syria, di mana 97% daripada mereka hidup dalam kemiskinan tegar, sementara lebih daripada dua pertiga daripada mereka telah kehilangan tempat tinggal. Di Lubnan pula, ekoran krisis ekonomi yang merudum meletakkan para pelarian berada di situasi yang parah.

Sudah jatuh, ditimpa tangga. Begitulah gambaran situasi yang dihadapi oleh pelarian Syria.

Bertahun-tahun mereka hidup derita akibat serangan roket dan berbagai senjata, menjadi gelandangan mencari peluang untuk hidup tak kira di mana, mereka diduga pula dengan gempa bumi berukuran 7.8 mengikut skala Richter.

Lebih enam bulan selepas gempa bumi kuat yang melanda utara Syria dan selatan Tirkiye itu, ramai daripada mereka yang terjejas di Syria seakan dilupakan: proses baik pulih serta pembinaan semula hampir tiada. Kejatuhan mata wang Syria serta peningkatan besar kos barang makanan serta kos pembinaan menambahkan kesusahan yang terpaksa mereka lalui apatah lagi peluang pekerjaan sangat terhad.

Projek Warm Their Winter iaitu salah satu sub projek di bawah Winter Aid yang akan berlangsung dari 14-22 Oktober di Dewan Melati, Shah Alam. Projek ini dilaksanakan bertujuan membuka peluang kepada orang ramai membantu para pelarian secara langsung. Bagi menguruskan serta menjayakan projek ini, dana berjumlah RM150,000 diperlukan . Orang ramai boleh menghantar pakaian musim sejuk baharu dan terpakai serta barangan lain seperti selimut tebal, lampin pakai buang, tuala wanita juga peralatan perubatan pada tarikh dan tempat yang dinyatakan di atas.

Projek Winter Aid juga mendapat kerjasama serta sokongan Sinar Karangkraf, Min Qalby Foundation, Qalby App, World Peace Entertainment, Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP ZON 3), De Haramain, Sasuke Bundle, Moon’s Kitchen serta Jakel Shah Alam. Bagi yang berminat untuk bekerjasama boleh hubungi En. Muhammad Nufazli bin Rahman di talian 0111136 2567.

Sumbangan bagi Winter Aid serta kerja-kerja kemanusiaan Syria Care boleh dibuat ke akaun Maybank: 562106653575 atau CIMB :8601894560 dengan rujukan ‘winteraid’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *