MBPJ BERI SUMBANGAN KEPADA 150 ANAK-ANAK YATIM DAN 60 KELUARGA MISKIN BANDAR

Bersempena dengan sambutan bulan Ramadhan tahun ini, Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Suria FM menganjurkan MAJLIS PICNIC IFTAR RAMADAN MBPJ X SURIA bertempat di Laman MBPJ Pusat Bandar Seksyen 52, Petaling Jaya.
Penganjuran program ini merupakan inisiatif untuk meraikan komuniti Petaling Jaya khususnya yang beragama Islam untuk mengimarahkan lagi ibadah di bulan Ramadhan di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara Majlis dengan masyarakat setempat dan juga orang awam. Pada masa sama, ianya bertujuan untuk meraikan golongan berkenaan disamping mengambil peluang melaksanakan aktiviti-aktiviti kKebajikan dalam bulan Ramadhan ini. Antara aktiviti yang diadakan ialah Majlis Berouka Puasa Bersama Komuniti dan Kakitangan MBPJ, sesi penyerahan 1000 bekas bubur lambur oleh Suria FM kepada orang awam, solat Maghrib & Isyak serta Tarawih secara berjemaah, qasidah (sewaktu menanti waktu berbuka), tazkirah Ramadhan dan juga persembahan daripada artis jemputan kumpulan nasyid Inteam dan juga penyampai radio suria fm.

Dalam pada itu, prihatin dengan golongan kurang bernasib baik di Petaling Jaya, MBPJ turut menyampaikan Sumbangan Aidilfitri kepada 150 orang anak-anak yatim dari kalangan penduduk dan anak kakitangan MBPJ. Sumbangan diberi adalah berbentuk wang tunai berjumlah RM 150.00 dan peralatan sekolah seperti beg, alat tulis serta biskut raya.
Di majlis sama, MBPJ juga akan menyampaikan sumbangan kepada kepada 60 buah keluarga golongan B40 dan miskin bandar yang berdaftar dengan eKasih dimana pendapatannya RM 2,029.00 ke bawah berdasarkan kepada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor 2019 terutamanya dalam kalangan ibu tunggal, warga emas, dan keluarga yang mempunyai tanggungan anak ramai untuk menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Setiap keluarga akan menerima bantuan wang tunai berjumlah RM 250.00 beserta biskut raya. Untuk makluman, biskut raya yang disumbangkan ini dibuat sendiri oleh 4 orang peserta Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB). Mereka ini telah mengikuti bengkel pembuatan kuih / biskut bagi tujuan peningkatan kemahiran untuk menjana pendapatan tambahan mereka. Untuk makluman, penganjuran majlis seumpama ini tidak lain tidak bukan ianya merupakan program tahunan dan juga sebahagian tanggungjawab sosial korporat MBPJ dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan sejajar dengan agenda Bandaraya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan @ PJSSR 2030, di bawah thematic ‘Inclusive City’ yang mengambilkira keperluan dan penglibatan semua golongan atau peringkat masyarakat.
Program ini merupakan kali kedua diadakan setelah penganjuran Majlis Iftar Ramadhan, Petaling Jaya Bertarawih yang telah dihadiri 1,000 orang pengunjung pada tahun lalu.
