IRAMA Mahu KKD Sekat Video Raya Aliff Syukri

0

Persatuan Konsortium Rakaman Malaysia (IRAMA) membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas  Datuk Seri Aliff Syukri.
Ini kerana usahawan kosmetik itu memuat naik klip video pendek lagu raya berjudul Cak Kun Cak
Raya yang didakwa melanggar budaya dan tatasusila masyarakat malah menghina kemuliaan bulan Ramadhan.

Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid berkata, gelagat ahli perniagaan itu bersama lima penari lain
yang tampil berpakaian baju Melayu ketat dalam keadaan terkinja-kinja juga dilihat tidak sopan
untuk dipertontonkan kepada umum.
Malah beliau menyifatkan tindakan Aliff Syukri dan kumpulannya juga dianggap boleh merosakkan
nilai dan tradisi baju Melayu.

“Justeru itu, satu laporan polis telah dibuat terhadap video klip berkenaan di Ibu Pejabat Polis
Daerah Dang Wangi hari ini bagi tindakan tegas diambil kepada mereka yang terlibat”, ujar Ayob Abd
Majid kepada media selepas membuat laporan berkenaan pada 4 April lalu.
“Klip video berkenaan dilihat menyalahi undang-undang bukan saja pakaiannya menghina baju
Melayu malah perlakuannya sangat keterlaluan,”
ujarnya.

Dalam pada itu, Ayob juga menambah, polis juga telah memintanya merujuk laporan tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan sejawarnya.
Beliau akan menulis surat kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil untuk mengadakan
satu perjumpaan khusus membincangkan mengenai perkara itu dalam masa terdekat ini.
Ia bagi mendesak membuat pindaan Akta SKMM sedia ada kepada hukuman denda yang lebih tinggi
dan penjara.

“Kalau kita lihat, banyak klip video lain seumpama pernah dikeluarkan pada tahun-tahun sebelum ini yang mana kandungan klip video yang keterlaluan dan menggusarkan orang ramai”, tambahnya.

“Ini kerana hukuman denda sedia ada tidak begitu tegas menyebabkan orang lebih berani
mengulangi perbuatan tersebut memandangkan hukuman denda kepada kesalahan mereka tidak
tegas.
“Jika akta berkaitan dibuat pindaan untuk menambah nilai denda lebih tinggi dan hukuman penjara
lebih berat, saya yakin jenayah seumpama dapat dikekang secara berkesan,”
jelasnya.

Ayob juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan satu perbadanan khusus untuk memantau
dan mengawal selia industri muzik di negara ini.
Katanya, perbadanan itu penting untuk mengawal selia industri muzik agar lebih tersusun seperti
mana peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam
memantau industri filem.

“Kami (IRAMA) telah lama memperjuangkan perkara ini sejak kerajaan terdahulu iaitu zaman Tun Dr.
Mahathir Mohamad lagi yang mana difahamkan, usul itu telah diluluskan oleh Parlimen namun
sehingga sekarang tiada sebarang inisiatif ke arah itu sehingga kini.
“Sekurang-kurangnya kali ini wujudkan dulu satu jawatankuasa bersifat sementara untuk memantau
industri muzik sehingga satu perbadanan tetap dimuktamadkan dan ditubuhkan kerajaan,”
ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *